Penguasaan
pelajar dalam pelbagai bahasa antarabangsa merupakan antara elemen penting
dalam persediaan mendepani arus tranformasi pendidikan bagi menyediakan
generasi murid menghadapi cabaran abad ke-21 seperti yang terkandung dalam
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Peranan bahasa sebagai
wahana komunikasi dalam kehidupan mampu membuka pintu-pintu ilmu yang
terbentang luas di hadapan para pelajar
sebagai persediaan menjadi pelajar yang holistik sifatnya selaras dengan
gagasan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Justeru, penganjuran Hari Kebudayaan Bahasa Arab Sekolah Berasrama Penuh
(SBP) merupakan manifestasi dalam melahirkan pelajar-pelajar SBP yang lebih
berketerampilan dalam bahasa ketiga selepas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Sekolah
Menengah Sains Tuanku Jaafar (SMSTJ), telah diberi penghormatan oleh Bahagian
Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pendidikan
Malaysia untuk menjadi tuan rumah Hari Kebudayaan Bahasa Arab Sekolah Berasrama
Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan kali ke-8 pada tahun 2016 ini. Festival kali ini akan melibatkan penyertaan
sekolah-sekolah SBP dari lima zon iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon
Timur dan Zon Sabah/Sarawak/Labuan, yang mana semua sekolah berkenaan menawarkan
subjek Bahasa Arab sebagai subjek wajib
(aliran sains agama) atau sebagai bahasa asing pilihan (aliran sains tulen) di sekolah masing-masing.
Besarlah harapan pihak penganjur agar festival ini mampu melahirkan serta
menyerlahkan penguasaan Bahasa Arab dalam setiap lapangan yang diceburi.
No comments:
Post a Comment